Qurban for life 2011 bermula

YASSIN DAN PENDIDIKAN


YASSIN DAN PENDIDIKAN


            Amalan membaca Surah Yassin pada setiap malam jumaat atau dalam majlis-majlis tertentu yang telah diamalkan oleh masyarakat islam di Malaysia ini adalah satu amalan yang tidak asing lagi. Seolah-olah amalan membaca Surah Yassin kepada umat islam ini sudah sebati dan tidak dapat dipisahkan lagi.

            Sebenarnya amalan membaca Surah Yassin ini adalah amalan yang digalakkan oleh islam dan mempunyai kebaikan yang besar.

            Daripada Ma’ qal bin Yasar, telah bersabda Rasulullah SAW “Surah Yassin adalah hati Al Quran, tidaklah seseorang yang membacanya demi mengharapkan keredhaan Allah dan hari akhirat melainkan di ampunkan dosa-dosanya. Maka bacakanlah ia ke atas orang-orang yang meninggal dunia dari kalangan kalian”.
                                                                        Hadis riwayat Ahmad dan At Tabrani

Umat islam yang membaca Surah Yassin dan kemudian di ikuti dengan bacaan tahlil pada malam-malam jumaat adalah untuk megambil keberkatan malam jumaat. Kelebihan yang ada pada surah Yassin dan kelebihan malam jumaat diambil kira dengan begitu berat sekali dan umat islam dalam melakukan amal ibadah. 

Seolah-olah tidak dapat dipisahkan bacaan yassin dan malam jumaat. Walaupun tidak ada sandaran hokum yang jelas tentang membaca surah yasin pada malam jumaat tetapi seolah-olah umat islam di Malaysia ini telah menetapkan bahawa waktu terbaik membaca surah yasin adalah pada malam jumaat.

Kadang-kadang penulis melihat pada malam jumaat ramai ibu bapa membawa anak-anak ke surau atau ke masjid khusus untuk berjemaah dan membaca yassin dan bertahlil. Keadaan ini amat baik sekali terus dapat memudahkan anak-anak untuk ke masjid dan surau. Terdapat juga umat islam yang tidak mahu ada apa-apa majlis lain pada malam jumaat kerana mahu berjemaah di masjid dan dapat membaca yassin dan bertahlil sekali. 

Pendedahan awal anak-anak dan golongan remaja terhadap program membaca yassin dan bertahlil dapat membawa generasi muda ini ke masjid dan mendekatkan diri dengan Al-Quran. Walaupun bacaan itu khusus membaca surah yassin dan beberapa ayat sewaktu bertahlil tetapi itulah barangkali waktu yang ada pada mereka untuk ke masjid dan mungkin pada waktu itu juga mereka ada untuk mereka membaca Al Quran.

Pemupukan peranan cinta pada masjid dan Al Quran perlu diterapkan sewaktu kecil supaya ianya mentap dan tertanam dalam jiwa generasi muda kita. Walaupun mereka hanya mampu membaca surah yassin perasaan saying mereka kepada Al Quran perlu disemai dengan membaut nilai tambah terutamanya pengetahuan yang berkaitan dengan tajwid dan tatacara membawa Al Quran dengan betul. 

Pengalaman penulis melihat ramainya generasi muda yang pada asalnya boleh membawa Al Quran tetapi apabila ditinggalkan begitu lama ia akan hilang. Kemahiran yang telah hilang ini kadang-kadang amat payah untuk dicari semula. Apabila generasi muda ini membesar dan sibuk dengan kerjaya dan kehidupan berkeluarga maka masa mereka semakin hilang untuk membawa Al Quran.

Kebanyakkan masjid dan surau di Malaysia ini setelah membaca yassin dan tahlil biasanya akan menyediakan jamuan tidak kira sama ada makanan berat atau ringan. Ini juga satu amalan yang amat baik. Makan bersama boleh mengeratkan silaturrahim. Mencari masa untuk dapat makan bersama-sama jemaah masjid dan surau di waktu-waktu lain kadang-kadang amat susah. Tetapi pada malam jumaat seolah-olah sudah menjadi tradisi untuk membaca yassin dan kemudian makan bersama-sama. 

Penulis juga melihat diantara jemaah yang paling gembira makan di masjid ini adalah kanak-kanak dan golongan remaja. Walaupun kadang-kadang mereka hanya datang untuk makan sahaja tetapi itulah tarikan yang ada. Harapan kita mereka akan terus menjadikan masjid dan surau di antara destinasi wajib yang perlu dikunjungi walaupun seminggu sekali.

Begitulah betapa bagusnya peranan surah yassin dalam masyarakat kita yang telah membudayakan dalam kehidupan. Apapun masalah akan dipohon kepada Allah dengan bacaan yassin terlebih dahulu. Sebagaimana hadis nabi yang telah disebutkan tadi bahawa yang membaca akan diampunkan dosanya. 

Memang sesuatu yang amat baik apabila semasa kita berdosa kita telah diampunkan terlebih dahulu dan kita berdoa dengan hati yang suci bersih. Jadi inilah barangkali budaya dalam masyarakat kita yang apabila mempunyai hajat yang besar akan mengadakan majlis membaca yassin dan kemudian diiringi solat hajat.

No comments:

Post a Comment